Be My Followers

Friday, October 25, 2013

Haram Bercerita Tentang Keburukan Orang Lain..


Assalamualaikum..
Salam Jumaat semoga kita sentiasa diberkati dan dirahmati Allah sentiasa.

Haram heboh keburukan sesama Islam

ISLAM mengkehendaki kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam maka Allah menutup keaibannya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim Abu Daud dan At-Tirmizi)

Suasana masyarakat Islam sekarang yang sering tidak menghormati sesama Islam, adalah melanggar hukum Islam.

Menghormati saudara seIslam dalam erti kata menjaga maruah dan air mukanya melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan, akan dapat melahirkan suasana hidup bermasyarakat harmoni dan sejahtera.

Itulah jaminan Islam kepada umatnya apabila mereka mengamalkan sikap menghormati sesama Islam.

Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan. Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan.
Bagi orang yang bijaksana, ia memandang pada dalam dirinya dan bertaubat dari dosa-dosanya dan membetul kesilapan-kesilapannya. Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain.

Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan saja hilang kehormatannya, malah sehingga orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama Islam sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 12, 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ”

"Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat." (HR Bukhari)

Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada betul atau tidak adalah berdosa. Dalam Islam, tidak boleh menyebarkan keaiban orang lain walaupun mahkamah telah membuat keputusan sesuatu kes. Haram menceritakan dan menyiarkannya di dalam surat khabar dan dimanamana pun, walaupun disisi undang-undang dunia dibolehkan, Islam tetap mengharamkan penyebaran aib orang lain.

Seseorang yang menulis tentang aib orang lain juga akan disoal dan penulisannya akan didatangkan kembali di hari kiamat. Oleh itu sebagai orang Islam, berhati-hatilah dan elakkan dari menulis tentang keaiban orang lain. Hasil dari jualan berita yang mendedahkan keaiban itu juga boleh menjadi haram.
Di Padang Mahsyar nanti Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka.

Dalam satu hadis, ada disebut lebih kurang begini “kalau orang mengaibkan kamu dengan sesuatu yang tidak berasas, Allah akan mengaibkannya di Padang Mahsyar, janganlah kamu mengaibkan walaupun ianya berasas”.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...